ASAS KETIGA:

Iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dicurahkan Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendakinya, manakala ilham, lintasan-lintasan hati, kassyaf dan mimpi bukanlah menjadi dalil kepada hukum-hukum syariat. Perkara-perkara tersebut hanya dapat diterima dengan syarat perkara-perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum dan nas syariat.

Keterangan:

Iman yang benar ialah iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan, seperti bersih dari syirik, khafi, ria dan lemah. Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertahta di jiwa anggota zahir untuk melakukan taat kepada Allah dan menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-olah hadir di depan mata. Ia akan memenuhkan jiwa dengan perasaan tenang, tabah dan tetap pendirian, hingga memudahkan mereka yang mempunyai iman seperti ini berkorban apa sahaja demi jalan Allah, menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakkal, takut dan penyerahan mereka kepada Allah. Bila pengertian iman yang seperti ini memenuhi hati seorang Muslim jiwanya akan ringan melakukan segala bentuk ibadat dan ikhlas kerana Allah semata-mata. Ibadat dan iman yang seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam penghidupan dunia dan akhirat. Kehidupan akan dipenuhi dengan kebahagian, kegembiraan dan ketenangan yang meresap ke seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi batin seorang Muslim. Apabila cahaya batin ini bertambah, sinarnya akan melimpah pada wajah seseorang Muslim; sinar yang dapat dilihat pada orang-orang yang beriman sekalipun kulit seorang Muslim itu hitam atau sawomatang. Manakala di akhirat pula kemanisan iman ini akan dapat dirasakan lebih manis dari madu.

Sebahagian dari tanda-tanda lahir bagi kemanisan iman ialah kecintaan seorang Mukmin untuk melakukan ibadat, merasa selesa dan tenang melakukannya, merasa rindu dan lapang dada terhadapnya. Saudara jangan merasa pelik dan menganggap bahawa perkara ini hanyalah khayalan semata kerana iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh roh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Hadith yang mulia telah menyebutkan:

ثلاث من آن فيه وجدبهن حلاوة الايمان من آانالله ورسوله احب اليه

مما سوا هماوان يحب المرءلايحبه الاالله وأن يكره ان يعود فى الكفر

بعد أن انقذهالله منه آما يكره أن يقذ ف النارً أخرجه مسلم

“Jika terdapat tiga perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan iman. Beliau mengasihi Allah dan rasulnya lebih dari sesuatu. Beliau benci kembali kepada kekufuran, setelah Allah melepaskan beliau dirinya, sebagaimana beliau benci dicampakkan ke dalam neraka. Beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu, tetapi hanyalah kerana Allah”.

Iman adalah kemanisan dan kemanisan ini akan bertambah apabila iman bertambah kuat dan termetri. Sebahagian dari kesan iman yang benar dan ibadat yang sah ialah Allah akan mencampakkan ilham dan lintasan-lintasan ke dalam hati Mukmin, ilham dan lintasan hati yang menyuluh jalan Mukmin; menolongnya dalam mencari kebenaran dan menyelesaikan kemusykilan. Kassyaf juga adalah sebahagian kesan dari iman yang benar. Kassyaf yang dimaksudkan di sini ialah: Allah membukakan tabir yang melindungi sebahagian dari perkara-perkara yang tersembunyi dan perkara-perkara yang tidak tersembunyi dan perkara-perkara ghaib. Termasuk juga dalam pengertian kassyaf ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan setengah manusia.

Kassyaf yang seperti ini dikenal dengan firasat Mukmin, sebagaimana yang tersebut dalam hadith:

اتقوافراسة المؤ من فإنه ينظربنورالله

“Takutilah firasat Muslim, sesungguhnya beliau melihat dengan nur Allah”.

Dalam Athar (kisah atau kejadian yang berlaku di zaman para sahabat) para sahabat diceritakan bahawa Saidina Othman bin Affan (r) telah berkata kepada sebahagian orang ramai yang datang menemuinya: “Salah seorang di antara kamu masuk, sedang kesan zina jelas kelihatan di antara dua matanya”. Lantas di kalangan yang hadir bertariya: “Adakah wahyu turun selepas Rasulullah wahai amirul-mu’minin?”. Soalan ini dijawab Othman dengan katanya: “Tidak, malah ianya firasat Mukmin”. Kesan zina yang dilihat oleh Othman di sini hanyalah kesan dari mereka melihat perkara yang haram, kerana dalam hadith ada disebutkan bahawa mata itu berzina dan zina mata ialah melihat perkara yang haram.

Ilham, lintasan hati dan firasat adalah termasuk dalam perkara-pekara yang thabit dan berlaku. Kadangkala perkara ini disebut keramat. Keramat adalah suatu kebenaran yang harus diterima dan wajib diimani, tetapi tidak harus dijadikan sebagai dalil terhadap hukum-hukum, kerana dalil-dalil hukum hanyalah terbatas pada Al-Quran dan sunnah dan ceraiannya. Walaupun demikian ilham dan seumpamanya bolehlah di anggap sebagai petunjuk jalan untuk mengenali seseorang, keadaan-keadaan tertentu dan perkara-perkara yang harus dilakukan atau ditinggalkan bersangkutan dengan urusan hidup. Sebahagian dari mimpi-mimpi adalah benar dan sebahagian yang lain hanyalah merupakan mimpi-mimpi karut. Mimpi seorang yang benar-benar Mukmin pada ghaibnya adalah benar dan jelas, atau memerlukan ta’bir.