Sambungan dari Part I.

1.9 Islam adalah pengetahuan.

Islam adalah pengetahuan sebagaimana yang dikatakan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa menuntut ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada kita dengan Qadar yang mencukupi adalah sebahagian dari ajaran Islam. Islam tidak melarang seseorang muslim meluaskan ilmu pengetahuannya tentang kejadian alam, perusahaan dan pelbagai ilmu kebendaan yang lain yang termasuk dalam pengertian pengetahuan. Pengetahuan yang dapat menjadi bekalan manusia dalam usaha memajukan bumi dan menggunakan kekayaannya dengan baik; pengetahuan yang dapat menolong manusia dalam membongkar rahsia alam yang tersembunyi. Tetapi sewaktu manusia meluaskan ilmunya dalam perkara-perkara tadi beliau haruslah mengingati Allah yang memberikan akal dan fikiran yang waras kepadanya, Allah menjadikan alam ini dalam keadaan mudah digunakan manusia. Pengetahuan yang diperolehinya haruslah bertujuan mencari kebajikan dan keredhaan Allah.

1.10 Islam adalah undang-undang

Islam adalah undang-undang sebagaimana yang diterangkan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam telah membawa hukum-hukum (undang-undang) untuk mengatur hubungan individu antara sesama mereka. Islam telah menaskan hukum-hukum dan balasan terhadap mereka yang melanggar undang-undang tersebut, sama ada hukum dan balasan itu bersifat civil yang dilaksanakan ke atas harta atau perbuatan jenayah yang dilaksanakan ke atas anggota penjenayah terhadap kebebasan atau hartanya. Undang-undang Islam merangkumi pelbagai sudut hubungan antara sesama manusia. Oleh yang demikian tidaklah harus bagi seseorang Islam meninggalkan undang-undang Islam dan menggantikannya dengan undang undang lain. Sesungguhnya ummat Islam hari ini telah meninggalkan undang undang Islam dan melaksanakan undang-undang asing. Undang-undang hanya dilaksanakan dalam bidang yang sempit, hanya terbatas dalam undang-undang kekeluargaan, malah bidang yang sempit ini pun telah mula dinodai oleh tangan-tangan yang berdosa dengan melakukan perubahan dan pindaan.

1.11 Islam adalah ilmu

Ilmu yang dimaksudkan oleh Mursyid ialah makrifat dan mengenali hakikat sesuatu dengan tepat sebagaimana kenyataan, mengetahui sesuatu yang diturunkan Allah, mengetahui tujuan manusia diwujudkan dan kehidupan akhirat yang mengakhiri kehidupan manusia.

Ilmu yang paling tinggi dan mulia kedudukannya ialah mengenal Allah dan mengenal Islam yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w. Dengan mengenal Allah dan Islam seseorang Islam akan mengenal tuhannya, rasulnya, agamanya dan ajaran yang terkandung dalam agama tersebut. Peringkat ini disusuli pula oleh ilmu yang bersangkutan dengan urusan hidup yang pelbagai bentuk. Islam memandang tinggi kedudukan ilmu dan ulamak, memberikan kedudukan yang tinggi kepada ulamak, dan tidak menyamakan kedudukan mereka dengan orang lain. Dalam Al-Quran disebutkan:

شَهِدَ اللّهُ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ وَالْمَلاَئِكَةُ وَأُوْلُواْ الْعِلْمِ

“Allah mempersaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Dia, yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu”.

 (S 3:18)

Firman Allah lagi:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”.

(S 39:9)

Orang yang berilmu haruslah menggunakan ilmunya hanya semata-mata mencari keredhaan Allah. Secara sedar dan insaf beliau haruslah membersihkan diri dan yakin bahawa apa yang diketahuinya amatlah sedikit berbanding dengan apa yang tidak diketahuinya.

Allah berfirman:

وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً

“Dan tidaklah kamu diberi ilmu kecuali sedikit”. (S 17:85)

dan beliau haruslah menambah lagi ilmu pengetahuannya.

 Firman Allah:

وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Katakanlah, Ya Tuhanku tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan. “

(S 20:114)

1.12 Islam adalah kehakiman

Islam adalah kehakiman, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Al-Mursyid, adalah bermaksud bahawa salah satu dari manhaj (method) Islam ialah menghukum antara sesama manusia, kerana manusia amat memerlukan seorang hakim yang dapat menghukum dan menyelesaikan perselisihan mereka serta dapat mengembalikan hak kepada yang ampunya hak. Sebagai kesimpulan dalam masalah kehakiman ini dapatlah kita katakan bahawa Islam telah menganggap masalah kehakiman sebagai fardhu, lantaran inilah kita lihat bahawa Rasulullah s.a.w telah melantik kadhi-kadhi (hakim) untuk bertugas di tempat-tempat yang jauh dari Madinah. Kadhi atau hakim Muslim ini disyaratkan mempunyai pengetahuan yang luas tentang hukum hukum Islam. Atas dasar ini kita lihat bahawa salah satu dari syarat kelayakan seseorang hakim ialah kemampuannya untuk melakukan ijtihad di samping beliau mestilah beragama Islam, kerana tugas menghukum adalah termasuk dalam pengertian wilayah dan sultan. Orang kafir tidak layak dan tidak berhak menjadi wali kepada orang Islam. Dalam hubungan ini Allah berfirman:

وَلَن يَجْعَلَ اللّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلاً

“Dan Allah tidak sekali-kali memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memerintah orang-orang yang beriman”. (S 4:141)

Hakim yang Muslim mestilah menghukum menurut hukum-hukum Islam dan haram dengan hukum-hukum yang lain. Sewaktu beliau menghukum menurut undang-undang Islam, beliau haruslah hati-hati dan teliti, berusaha sedaya daya untuk melaksanakan keadilan. Seandainya beliau betul dan tepat dalam menghukum beliau akan dikurniakan dengan dua ganjaran, tetapi seandainya beliau tersilap atau tersalah beliau akan diberikan satu ganjaran.

1.13 Islam adalah kebendaan atau usaha dan kekayaan

Dengan ini Al-Mursrjd bermaksud bahawa Islam tidak mencuaikan soal soal kebendaan. Islam mengambil berat soal-soal rohani dan juga soal-soal kebendaan, tetapi seorang Muslim haruslah mengawasi hatinya agar ikhlas kepada Allah, beliau tidak seharusnya diperhambakan oleh kebendaan sekalipun kebendaan itu merupakan kekayaan yang tinggi menggunung. Muslim berhak melakukan kerja-kerja yang mendatangkan penghasilan dengan syarat kerja-kerja yang dilakukan itu halal, tidak diharamkan syariat. Beliaulah yang berhak menerima hasil usaha dari penat lelahnya, kerana milik perseorangan adalah dihormati dalam Islam. Milik perseorangan tidak harus dicerobohi atau dirampas.

Di samping itu Muslim haruslah mengeluarkan apa yang telah diwajibkan Allah ke atas miliknya seperti zakat, dan nafkah yang telah disyariatkan. Atas dasar ini Muslim tidaklah ditegah mencari kekayaan, malah pada dasarnya kekayaan adalah menjadi tujuan setiap usaha yang dilakukan manusia. Bila seorang Muslim yang mempunyai kekayaan bertaqwa dan menunaikan kewajipan yang telah difardhukan Allah beliau adalah tergolong ke dalam golongan wali-wali Allah; yang benar-benar bertaqwa kepada Allah. Ilmu fiqah telah membincangkan masalah: Manakah yang lebih baik antara si fakir yang sabar atau si kaya yang bersyukur. Sebahagian ahli fikah berpendapat golongan pertamalah yang lebih baik. Segolongan yang lain berpendapat golongan kedualah yang lebih baik. Tetapi hakikat yang sebenarnya, yang terbaik dari kedua-dua golongan ini ialah mereka yang lebih bertaqwa kepada Allah.

Saudara Muslim tidak selayaknya bersikap zahid dengan mengelak diri daripada melakukan kerja-kerja yang mendatangkan pendapatan dengan alasan zahidkan dunia dan untuk menumpukan sepenuh masa dalam ibadat khusus kerana hakikat zahid yang sebenarnya adalah bertahta dalam hati, bukan pada anggota zahir. Ibadat tidak bertentangan dengan bekerja dan berusaha, malah bekerja dan melakukan perusahaan yang halal adalah sebahagian dari ibadat.

Dalam hadis ada dinyatakan:

اليدالعليا خيرمناليدالسفل

‘Tangan yang di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (menerima)’.

Manusia tidak akan dapat memberikan sesuatu kecuali beliau mempunyai kekayaan, dan kekayaan hanyalah dapat dicapai melalui perusahaan. Selain dari itu adalah menjadi kewajipan kepada negara membantu Muslim dalam mendapatkan pekerjaan dengan menyediakan kemudahan dan memberikan bantuan kepada beliau.

1.14 Islam bererti jihad.

Islam adalah jihad, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam telah mewajibkan jihad. Hakikat jihad adalah mengorbankan seluruh tenaga pada jalan Allah, sekalipun sesuatu yang dikorbankan itu merupakan darah yang ditumpahkan dalam medan perang. Jihad tidaklah terbatas pada pengorbanan jiwa sahaja, malah termasuk juga pengorbanan harta benda, jihad pena dan lidah.

Muslim menunaikan jihad secara peribadi, juga menunaikannya sebagai anggota dalam jamaah; umpamanya beliau menjadi anggota dalam jamaah Ikhwan Muslimin. Sewaktu beliau menunaikan jihad sebagai anggota dalam jamaah beliau haruslah menyelaraskan jihadnya dengan langkah-langkah jamaah, sehingga dengan penyelarasan ini matlamat jihad secara jamaah yang dilakukan oleh lkhwan akan tercapai.

Ummat Islam hari ini telah mengenepikan dan menjauhkan diri dari jihad, sedangkan jihad pada hari ini adalah menjadi fardhu ‘ain atas tiap-tiap ummat Islam, kerana sebahagian besar dari negara-negara Islam telah dirampas dan diceroboh oleh golongan kafir. Umumnya Islam hari ini dalam keadaan kelemahan dan kehinaan yang menuntut supaya ummat Islam berjihad pada jalan Allah demi membebaskan ummat Muslimin daripada kelemahan dan kehinaan, juga membetulkan kegelinciran mereka dari landasan Islam. Tegaknya sebuah negara yang benar-benar Islam adalah merupakan suatu wasilah yang penting untuk melaksanakan tuntutan Islam. Menegakkan sebuah negara yang seperti ini adalah menjadi matlamat Ikhwan. Oleh kerana matlamat ini dan matlamat Islamiah yang lainnya, maka Ikhwan Muslimkin hari ini mengorbankan seluruh tenaga mereka.

1.15 Islam adalah dakwah

Islam juga mewajibkan Muslim melakukan dakwah, menyeru kepada Islam melalui wasilah yang dihalalkan syariat seperti penulisan, ceramah, perbicangan, melakukan pengembaraan atau rombongan dan lainnya. Wasilah yang paling penting dan berkesan dalam dakwah ialah dengan cara seorang Muslim mencorakkan dirinya dengan corak Islamiah yang membolehkan beliau menyeru manusia lain kepada Islam, kerana mereka yang diseru dapat melihat pada dirinya suatu contoh yang hidup dengan nilai-nilai Islam.

Dunia Islam telah lama kehilangan contoh-contoh manusia Islamiah ini, lantaran itulah maka salah satu dari asas-asas dakwah Islamiah ialah menitikberatkan soal-soal tarbiyah dan membentuk individu Muslim semoga dengan ini Ikhwan dapat menyediakan contoh-contoh Islamiah yang hidup. Kemudian menyebarkan contoh-contoh tersebut ke dalam masyarakat dengan cara menarik pandangan masyarakat kepada contoh-contoh itu agar mereka dapat melihat bagaimana Islam mencorakkan manusia dan menjadikannya sebagi cahaya yang bersinar di tengah-tengah masyarakat manusia. Berdakwah menyeru kepada Islam adalah menjadi kewajipan tiap-tiap Muslim.

Firman Allah:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّ هِ

وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِآِينَ

“Katakanlah: ‘Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutkan menyeru (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha suci Allah, dan aku tidak termasuk ke dalam golongan orang musyrik’. “ (S 12: 108)

Selain dari itu, sebahagian dari kewajipan dalam Islam ialah menegakkan jamaah yang berdakwah kepada jalan Allah, jamaah yang dapat menyatukan pendakwah-pendakwah, agar dengan penyatuan ini kesan dari pengaruh mereka akan lebih besar dan berfungsi dalam kehidupan manusia.

Firman Allah:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ

عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang beruntung”. (S 3:104)

Atas dasar inilah jamaah Ikhwan Muslimin tegak demi menyahut perintah Allah dan menyeru kepada jalanNya.

1.16 Islam adalah ketenteraan

Islam adalah ketenteraan, sebagaimana yang telah dimaksudkan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa ketenteraan adalah sebahagian dari tanda tanda lahir bagi persediaan bagi menghadapi jihad. Tentera adalah satu-satunya wasilah yang paling kuat. Adalah menjadi kenyataan bahawa menyediakan kekuatan tentera adalah memerlukan kepada perajurit, bekalan dan senjata. Oleh yang demikian tiap-tiap individu ummat Islam haruslah mendapat didikan ketenteraan baik dari sudut disiplin, ketaatan, membiasakan mereka menanggung kesukaran, hidup yang tidak mengenal rehat dan berperaturan di samping menyediakan pelbagai bentuk persenjataan.

1.17 Islam adalah fikrah

Islam adalah fikrah, sebagaimana yang diterangkan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa persediaan untuk kekuatan tentera haruslah tegak di atas fikrah yang tertentu, iaitu fikrah Islamiah. Dengan lain perkataan, kekuatan tentera Islam haruslah tegak di atas dasar untuk melaksanakan perintah Islam sesuai dengan manhajnya, juga untuk mempertahankan Islam dan menyeru manusia kepadanya. Kebenaran juga memerlukan kekuatan yang dapat melindungi dan mempertahankannya dari pencerobohan, kekuatan yang dapat menghapuskan ranjau-ranjau di pertengahan jalan. Sejak dari zaman Rasulullah (s.a.w) lagi tentera Islam telah melindungi dakwah Islamiah dan menghapuskan rintangan rintangan di jalannya. Dengan perlindungan ini manusia telah dapat melihat Islam, mengenal keindahannya dan mengetahui hakikatnya. Lantaran itu mereka telah memeluk Islam secara beramai-ramai. Pedang tidak dapat memasukkan Islam ke dalam hati, tetapi pedang memainkan peranan dalam menghapuskan halangan yang merintangi Islam untuk masuk ke dalam hati manusia. Dengan terhapusnya rintangan itu hati manusia terus terbuka luas untuk menerima Islam, lantas cahaya Islam dapat menerangi hati-hati tersebut. Kalaulah Islam tersebar dengan pedang nescaya kita akan melihat ketangkasan Islam di negara-negara Islam yang telah kehilangan kekuatan, tetapi hal ini tidak berlaku.

Fikrah Islamiah perlukan suatu bentuk pendekatan yang baru dan penerangan yang cukup, agar umat Islam dicorakkan dengan fikrah Islamiah. Inilah yang diusahakan oleh Ikhwan sekadar kemampuan dan kekuatan mereka. Dunia hari ini telah menjadi medan pertarungan fikrah-fikrah yang beraneka ragam. Fikrah-fikrah ini dilatar belakangi oleh negara yang menganutinya. Negara-negara ini menggunakan seluruh tenaga dan kekuatannya untuk menyebar dan mempertahankan fikrah tersebut, tetapi tidak ada sebuah negara pun hari ini yang menganuti fikrah Islamiah dan tegak di atas prinsip-prinsip Islam serta menyumbangkan seluruh tenaga dan kekuatannya untuk mempertahankan dan menyebarkan Islam. Bertolak dari asas ini, maka tanggungjawab Ikhwan amatlah besar. Di atas pundak merekalah terletaknya tugas mempertahan dan menyebarkan Islam hari ini hinggalah kerajaan Islam yang sebenarnya dapat tegak di mana-mana negara Islam; kerajaan yang dapat memikul tugas mempertahan dan menyebarkan dakwah Islamiah; yang dapat mengarah umat Islam dan kekayaan negara untuk mengembalikan kehidupan Islamiah yang silam; yang menegakkan sebuah masyarakat Islam yang sebenarnya di permukaan bumi serta menghapuskan halangan-halangan yang merintangi dakwah Islamiah.

1.18 Islam adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah

Akidah yang dimaksudkan oleh Mursyid ialah suatu pegangan yang diterima dan dipersetujui oleh hati. Akidah atau pegangan seperti ini boleh jadi benar atau salah. Andainya akidah itu benar, maka itulah akidah yang hakiki, tetapi sebaliknya akidah itu salah, maka itulah akidah yang batil, rosak dan dusta. Tidak ada dalam dunia ini akidah yang sebenarnya selain dari akidah Islam. Akidah-akidah lain yang menyalahi dan bertentangan dengan akidah Islam adalah merupakan akidah-akidah yang batil dan sesat. Akidah Islam tegak di atas iman kepada Allah, malaikat,kitab-kitab yang diturunkan dari langit, rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah, hari akhirat dan mengimani bahawa Qadha dan Qadar adalah dari Allah.

Iman kepada Allah tegak di atas dua asas; pertamanya mengimani rububiyyah Allah swt, dengan lain perkataan mengimani bahawa Allah swt. yang menjadikan sesuatu, yang menghidup dan mematikan; yang memiliki dan berkuasa; dan juga sifat-sifat Allah yang lain. Keduanya mengimani uluhiah Allah swt dengan kata lam mengimani bahawa Allah sahajalah yang berhak menerima pengabdian dan inilah pengertian ‘La Ilaha Illa Allah’, pengabdian tidak seharusnya diberikan kepada selain dari Allah.

Beriman dengan malaikat bermaksud i’tikad (kepercayaan) yang putus tentang wujudnya makhluk yang digelar malaikat. Bilangan malaikat itu hanya diketahui oleh Allah sahaja. Jibrail, Mikail, Israfil, Izrail adalah sebahagian daripada malaikat tersebut.

Beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan dari langit bermaksud mengimani bahawa Allah telah menurunkan kitab-kitab kepada rasul-rasulNya, mengimani bahawa kitab-kitab tersebut adalah kalam Allah, seperti kitab Taurat dan Injil; juga mengimani bahawa kitab dan kalam Allah yang terakhir diturunkan ialah Al-Quran. Rasulullah s.a.w. hanyalah bertugas untuk menyampaikan Al-Quran kepada manusia. Oleh itu lafaz dan makna Al-Quran adalah dari Allah. Al-Quran adalah terpelihara dari sebarang tokok tambah dan kekurangan. Mereka yang beri’tikad bahawa tambahan atau kekurangan berlaku dalam Al-Quran adalah terkeluar dari landasan Islam.

Yang dimaksudkan dengan beriman kepada rasul-rasul ialah kita beriman kepada semua rasul-rasul yang diutuskan Allah, bilangan para rasul itu sangat banyak dan Al-Quran telah menyebutkan sebahagian dari mereka manakala sebahagian yang lain pula tidak disebutkan. Termasuk dalam pengertian beriman kepada rasul-rasul juga ialah mengimani bahawa Muhammad s.a.w. adalah rasul akhir zaman, tidak ada nabi sesudah baginda. Mengimani dan mengikuti ajaran Muhammad s.a.w. adalah wajib. Manusia tidak bebas mengikuti ajaran lain atau beri’tikad bahawa Muhammad s.a.w. bukan rasul yang diutuskan Allah. Mereka yang beri’tikad demikian telah terkeluar dari Islam dan kufur.

Beriman dengan hari akhirat adalah bermaksud membenarkan bahawa disebalik penghidupan dunia ini masih ada penghidupan akhirat di mana Allah akan menghidupkan manusia sekali lagi dan melakukan perbicaraan terhadap perbuatan dan amalan mereka di dunia. Hasil dari perbicaraan ini menjadikan segolongan manusia dimasukkan ke dalam syurga, manakala sebahagian yang lain dimasukkan ke dalam neraka. Perhimpunan di padang mahsyar, perbicaraan dan balasan ini dilakukan ke atas roh dan jasad manusia. Kita beri’tikad bahawa syafaat Rasulullah s.a.w. di hari akhirat adalah benar dan hak dan syafaat ini berlaku dengan izin Allah terhadap mereka yang dikehendaki Allah. Kita juga beri’tikad bahawa azab dan nikmat kubur adalah benar dan hak. Beriman dengan qadha dan qadar (untung baik dan jahat) adalah bermaksud mengimani bahawa apa yang berlaku di dunia ini adalah dengan perbuatan, ilmu dan kehendak Allah dan manusia adalah bertanggungjawab terhadap perbuatan dan amalannya. Beliau tidak berhak menjadikan qadha dan qadar sebagai alasan, kerana Allah memiliki hujah yang putus terhadap hambanya.

1.19 Islam adalah ibadat yang sah

Islam adalah ibadat yang sah; sebagaimana yang dikatakan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam mengandungi berbagai bentuk ibadat. Sebahagiannya ialah ibadat hati seperti kasih, takut, percaya dan tawakkal kepada Allah. Sebahagian yang lain pula ialah ibadat anggota zahir seperti zikirullah, menunaikan kewajipan yang telah difardhukan Allah seperti sembahyang, puasa dan haji.

Semua ibadat-ibadat ini tegak di atas dua asas: pertamanya, ibadat-ibadat ini haruslah menurut apa yang telah disyariatkan Allah; keduanya, ibadat-ibadat

ini haruslah ikhlas kepada Allah semata-mata. Di atas dua dasar ini, melakukan bidaah dalam agama adalah haram dan mereka yang beribadat kepada Allah menurut cara yang bidaah tidak mendapat ganjaran keuntungan malah menanggung kerugian. Demikian juga keadaannya mereka yang melakukan ibadat yang pada zahirnya menurut apa yang telah disyariatkan, tetapi ibadat tersebut tidak dilakukan dengan ikhlas kerana Allah, malah dengan tujuan yang lain. Mereka yang melakukan ibadat seperti ini juga akan mendapat kerugian. Kita berdoa kepada Allah supaya memberi taufik kepada kita untuk melakukan ibadat yang sah dan menjadikan ibadat tersebut ikhlas kepada Allah semata mata. Selain dari itu saudara haruslah mengetahui bahawa semua bentuk amal, sekalipun yang harus jika dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan untuk mendapatkan keredhaan Allah, maka amal-amal tersebut akan menjadi amal yang saleh yang diganjari pahala.