USUL ISYRIN DAN KETERANGANNYA

ASAS PERTAMA:

Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.

1.1 Keterangan:

Islam adalah agama Allah yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh kerana Islam diturunkan untuk semua manusia, ini jelas dibuktikan oleh firman Allah:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا آَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَآْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ 

Dan kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada ummat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi ingat”. (S 34: 28)

Menyeluruh kerana Islam menghukum seluruh urusan hidup manusia, menghukum segala sesuatu yang dilakukan oleh manusia dan perkara yangbersangkut dengan apa yang mereka lakukan. Ini dibuktikan oleh firman Allah:

( مَّا فَرَّطْنَا فِي الكِتَابِ مِن شَيْءٍ ( 38

“Tiadalah kami alpakan sesuatu pun di dalam Al-Kitab” (S 6:38)

dan firman Allah:

( وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ ( 89

“Untuk menjelaskan segala sesuatu”(S 16:89)

Di atas dasar sifat-sifat Islam yang tetap dan tiada berubah inilah Al-Mursyid Hasan Al-Banna Rahimahullah telah berbicara dalam asas yang pertama ini untuk menjelaskan sebahagian dari perkara-perkara yang terkandung dalam Islam. Penjelasan yang dibuat oleh Al-Mursyid ini diperkuatkan lagi oleh Al-Quran, yang mana di dalam Al-Quran kita dapati ayat-ayat yang bersangkutan dengan hukum, ayat-ayat yang bersangkutan dengan sembahyang, ayat-ayat yang bersangkutan dengan mu’amalat, kehakiman dan seterusnya.

1.2 Islam adalah negara:

Islam adalah negara, sebagaimana yang diterangkan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam telah menyentuh hukum-hukum yang menitik beratkan persoalan negara. Islam bukanlah terbatas dalam lingkungan hubungan manusia dengan Allah, malah Islam juga menyusun hubungan antara sesama manusia, hubungan individu dengan jamaah, hubungan jamaah dengan jamaah yang lain. Jamaah ini pula memilih suatu sistem siasah yang didokong oleh negara, manakala negara pula mempunyai seorang ketua yang dikenal dalam istilah fiqah sebagai imam atau khalifah. Islam telah menerangkan asas bagi sebuah negara, cara memilih khalifah, menerangkan hak individu terhadap negara, demikian juga hak negara terhadap individu. Dalam zaman moden ini kajian dan perbincangan yang lengkap dalam persoalan negara dan hubungannya dengan individu adalah dibincangkan dalam undang-undang perlembagaan dan undang-undang perlembagaan adalah merupakan salah satu dari cabang undang-undang.

Negara (daulah) menurut pandangan Islam adalah negara fikrah, fikrah Islamiah. Oleh itu daulah dalam Islam adalah daulah fikrah, bukan qaumiah, bukan jenis dan bukan iklim. Ketua negara dipilih melalui orang-orang Islam sesuai dengan syarat syarat tertentu. Syarat-syarat ini tersimpul dalam dua sifat: kemampuan dan amanah. Tujuan dan perlantikan ketua negara ialah untuk melaksanakan syariat dan membimbing manusia untuk melakukannya. Kedudukan dan peranan individu dalam negara Islam amatlah menonjol dan berfungsi, tidak dipendap dan diabaikan. Individu adalah bertanggungjawab terhadap perjalanan negara agar tidak menyeleweng dan bertanggungjawab terhadap ketua negara agar beliau menunaikan kewajipannya. Atas dasar ini, individu adalah berhak mengawasi, memberi nasihat, memberi petunjuk dan mengkritik. Manakala pihak negara pula adalah bertanggungjawab terhadap individu, bertanggungjawab dalam memberikan jaminan hidup yang mulia kepada individu.

1.3 Islam adalah watan:

Islam adalah watan, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam telah menerangkan pengertian watan, dan watan bagi seorang muslim ialah semua negara Islam (Darul Islam). Yang dimaksudkan dengan negara Islam pula ialah: seluruh iklim yang dialami oleh orang Islam, kekuasaan dalam iklim tersebut adalah di tangan orang Islam dan mereka melaksanakan hukum-hukum Islam dalam iklim itu. Tiap-tiap individu muslim adalah berkewajipan mempertahankan dan menghalang musuh dari merampas Darul Islam. Kewajipan ini adalah merupakan hak sebuah Darul Islam terhadap seorang Muslim.

1.4 Islam adalah ummat:

Ummat yang dimaksudkan oleh Al-Mursyid di sini ialah suatu jamaah manusia yang disatukan oleh suatu ikatan. Ikatan ini menjadikan mereka suatu jamaah yang berbeza dari jamaah-jamaah lain, bersatu dan bertaut antara sesama mereka dan ingin hidup bersama dengan penuh harmoni. Islam membangunkan ummat ini di atas asas aqidah Islamiah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan abadi. Setelah manusia terjalin dalam ikatan aqidah Islamiah, perbezaan jenis, bahasa atau iklim tidak lagi menjadi suatu hal yang penting. Dengan aqidah Islamiah sahaja sudah cukup untuk membentuk suatu ummat. Sesuatu yang lain dari aqidah Islamiah tidak akan mampu untuk membina suatu ummat. Dalam Al-Quran Allah berfirman:

( إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ ( 10

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara.” (S 49:10).

FirmanNya lagi:

( إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ ( 92

“Sesungguhnya inilah ummat kamu, ummat yang satu, dan Aku Tuhan kamu, maka sembahlah Aku. “(S 21:92)

1.5 Islam adalah akhlak.

Islam adalah akhlak. Sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam mengambil berat soal akhlak. Pengambilan berat Islam terhadap akhlak amatlah jelas, kerana Al-Quran telah menyebutkan akhlak-akhlak yang baik, iaitu akhlak yang menjadi sifat-sifat orang mukmin. Al-Quran menyebutkan sifat-sifat ini dengan cara memuji, menyukai dan menyeru agar berakhlak dengan sifat-sifat tersebut. Al-Quran telah memuji Rasulullah s.a.w. kerana akhlaknya yang tinggi, firman Allah:

( وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ ( 4

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi-pekerti yang agung”. (S 68:4)

Dalam hadis yang mulia disebutkan:

انما بعثت لأ تمم م** ره الأ خلاق

‘Saya (rasul) hanyalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’

Dan diriwayatkan dari Aisyah (r.a), sewaktu beliau menerangkan akhlak Rasulullah s.a.w. Beliau telah berkata:

خلقه القران

‘Akhlak Rasulullah ialah Al-Quran’.

Akhlak adalah mempunyai kedudukan yang menonjol dalam dakwah ikhwan dan ikhwan sentiasa mewajibkan diri mereka agar berakhlak dengan akhlak yang dituntut oleh Islam. Atas dasar ini amatlah salah mereka yang mengatakan bahawa, oleh kerana melihatkan ikhwan amat menitik beratkan soal-soal umum, seruan untuk berakhlak tinggi dan mulia adalah bertentangan dengan dasar ikhwan. Mereka yang menganggap demikian adalah salah kerana akhlak adalah merupakan sebahagian dari dakwah Islam. Amatlah tidak layak bagi ikhwan mengabaikan sesuatu yang dibawa oleh Islam. Selain dari itu kesempurnaan amal adalah bergantung kepada kesempurnaan maknawi (batin) dan akhlak yang tinggi dan mulia adalah tergolong dalam pengertian maknawi yang akan membuahkan amal yang saleh. Adalah sia-sia kalau kita hanya memperbaiki lahiriah manusia dan menuntut mereka supaya melakukan amal saleh sedangkan kita membiarkan batinnya menjadi mangsa kepada akhlak yang keji. Oleh yang demikian akhlak sepatutnya mendapat perhatian berat dan jiwa haruslah dididik dengan akhlak yang mulia. Akhlak tidak harus dibataskan dalam lingkungan sifat-sifat mulia yang telah diketahui umum seperti berbicara dengan lemah-lembut, manis muka dan rendah diri. Malah medan akhlak amatlah luas sebagaimana yang telah digambarkan oleh Aisyah sewaktu menerangkan akhlak Rasulullah s.a.w.

‘Akhlaknya adalah Al-Quran. Oleh yang demikian segala sifat-sifat yang mulia

yang dituntut oleh Al-Quran adalah termasuk dalam pengertian akhlak. Sifat sifat sabar, tetap pendirian, tabah, mulia diri, benar, menunaikan janji, tinggi himmah, ikhlas dan sifat-sifat yang lain adalah termasuk dalam akhlak yang tinggi dan mulia. Sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat-sifat yang tersebut seperti keluh-kesah, hilang pertimbangan, ragu-ragu, munafik, hina-dina, dusta, penipu, riak, dan sifat-sifat keji yang lain adalah dituntut supaya ditinggalkan, dan membersihkan diri daripadanya. Apabila diri telah bersih dari akhlak yang keji ini dan apabila diri telah terhias dengan akhlak yang tinggi dan mulia, seorang Islam akan mempunyai peribadi yang kuat, padu, mengutamakan yang baik, berpengaruh dalam hidup dan tabah dalam menghadapi kebatilan.

1.6 Islam adalah kekuatan:

Islam adalah kekuatan. Sebagaimana yang diterangkan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam menyeru kepada kekuatan. Seorang Islam tidak lemah dan beku. Pada hakikatnya, Islam memandang berat soal kekuatan dan dengan terus terang menuntut agar mencari sebab-sebab yang membawa kepada kekuatan, firman Allah :

(S وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ ( 8:60

‘Dan siapkanlah apa saja kekuatan yang kamu sanggupi’. (S 8:60)

Rangkaikata Al-Quran ini datang dalam suatu bentuk yang sangat menarik dan umum, mencakup seluruh jenis kekuatan, sama ada kekuatan itu boleh dicapai semasa turunnya Al-Quran atau pada masa-masa kebelakangan. Tuntutan persediaan kekuatan dalam ayat ini adalah merupakan satu tuntutan wajib. Oleh yang demikian ummat Islam adalah wajib menyediakan sebab-sebab untuk menjadi kuat sedaya mampu, sesuai dengan masa dan tempat. Kekuatan tidaklah terbatas kepada kekuatan senjata, malah melewati batas ini hingga merangkumi semua perkara yang boleh menjadikan seorang Islam itu kuat, seperti ilmu pengetahuan, kekayaan, perusahaan dan lainnya.

Apabila tiap-tiap Muslim itu kuat, ummat Islam secara keseluruhan akan menjadi kuat. Oleh kerana untuk mencari dan mencapai kekuatan di zaman moden ini memerlukan kepada daya usaha, ilmu pengetahuan; menyediakan pelbagai bentuk, cara dan wasilah; mempelajari segala jenis perusahaan dan berbagai jenis ilmu seperti ilmu kimia dan fizik. Ini meliputi bidang mendirikan fabrik dan industri, melakukan percubaan-percubaan dan mempelajari ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh orang bukan Islam dalam bidang kebendaan. Oleh kerana pencapaian kekuatan adalah bergantung kepada perkara-perkara ini, maka kita mengatakan bahawa mempelajari perkara perkara tersebut adalah menjadi fardhu kifayah kepada ummat Islam. Dengan kata lain haruslah ada di kalangan ummat Islam suatu bilangan yang cukup untuk menunaikan tanggungjawab mencari sebab-sebab yang membawakan kekuatan yang seharusnya ada pada ummat Islam.

Hal ini kita katakan sesuai dengan kaedah fikah yang mengatakan:

مالايتم الواجبمالايتم الواجب إلابه فهو واجب

‘Bila kesempurnaan sesuatu yang wajib terhenti kerana wujudnya suatu perkara yang lain, maka perkara tersebut adalah juga wajib’.

Selain dari itu kekuatan jiwa, anggota dan kekuatan akal adalah termasuk dalam pengertian kekuatan yang harus ada pada ummat Islam. Oleh yang demikian tiap tiap Muslim wajiblah mencari dan melakukan perkara-perkara yang dapat memberikan kekuatan kepada beliau. Kekuatan jiwa dapat dicapai dengan iman; kekuatan anggota dapat dicapai dengan senaman, menunggang dan lainnya, kekuatan akal pula dicapai dengan ilmu. Lantaran inilah Mursyid telah mewasiatkan beberapa perkara yang dapat memberi kekuatan jiwa, badan dan akal saudara. Saudara haruslah menyedari bahawa kebenaran memerlukan kekuatan yang dapat mempertahankannya. Ini adalah sunnah Allah dalam hidup. Lantaran itu Islam tidak mengabaikan soal kekuatan malah menuntutnya demi untuk menjaga dan mempertahankan kebenaran yang dibawanya.

Jika kita mengatakan bahawa menyediakan kekuatan itu suatu perkara pasti dan wajib pada masa silam, maka kepastian dan kewajipan itu lebih penting dan menonjol di zaman moden ini. Kerana ummat Islam hari ini tidak ubah seperti sekeping serpihan roti yang dikerumuni oleh semut. Bangsa-bangsa dan ummat yang mengerumuni ummat Islam ini tidak akan dapat diusir dan disingkirkan kecuali dengan kekuatan dan kita jamaah Ikhwan Muslimun sebagai duat (pendakwah) kepada jalan Allah, sebagai barisan depan bagi ummat yang beriman, barisan yang ingin menyedarkan ummat Islam, amat memerlukan kekuatan yang membolehkan kita mencapai matlamat ini. Kekuatan kita ini haruslah terjelma dalam bentuk kekuatan persediaan, iman, ilmu dan kekuatan tanzim (organisasi). Selagi kekuatan ini tidak dapat mengatasi kekuatan jamaah-jamaah yang bathil kita tidak akan dapat mencapai matlamat kita. Oleh yang demikian kita haruslah mempertanggungjawabkan diri kita masing-masing untuk mewujudkan kekuatan ini dan Allah akan menolong kita jika kita berusaha mencarikan sebab sebab yang membawakan kepada kekuatan ini.

1.7 Islam adalah rahmat.

Rahmat yang dimaksudkan oleh Mursyid di sini ialah perasaan lemah lembut dalam hati yang mendorong manusia untuk menolong orang-orang lemah dan berhajat, atau memaafkan orang yang tersilap, tidak melakukan tindak-balas terhadap perbuatan jahat orang lain dan merasakan simpati di atas bencana yang menimpa orang lain. Sifat-sifat ini akan merupakan akhlak yang tinggi jika digunakan pada tempat yang sewajarnya. Sifat rahmat dan belas kasihan hanyalah wujud dan berfungsi sewaktu ianya dapat menolong pelaksanaan hukum-hukum Allah. Dalam menghukumkan mereka yang melakukan jenayah zina Allah berfirman:

الزَّانِيَةُ __________وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا آُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْآُم بِهِمَا

( رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ ( 24

‘Sebatlah lelaki dan perempuan yang melakukan zina seratus rotan. Janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu dari (menjalankan) agama Allah.” (S. 24:2)

Demikianlah juga pada hukum-hukum yang lain. Perasaan rahmat dan belas kasihan tidak seharusnya diberikan kepada musuh Allah, musuh yang menjadi batu penghalang di jalan Allah sekalipun mereka itu terdiri dari keluarga yang hampir. Lantaran inilah kita lihat para sahabat yang mulia telah memerangi ayah, bapa saudara, anak saudara dan keluarga mereka yang akrab dalam peperangan Badar, Uhud, Khandak kerana mereka musuh Allah yang menjadi batu penghalang di jalan Allah.

Perbuatan seseorang yang menyakitkan kita adalah digalakkan supaya dimaafkan. Kemaafan yang diberikan oleh seseorang sedangkan beliau berupaya melakukan tindakbalas adalah dianggap sebahagian daripada rahmat. Rahmat dan belas kasihan haruslah diberikan kepada mereka yang lemah, miskin, mereka yang terpisah dari keluarga, orang-orang sakit, orang tua dan orang orang yang berhajat kepada bantuan dan pertolongan. Perasaan rahmat dan belas kasihan haruslah wujud di kalangan Ikhwan Muslimin sewaktu mereka membentuk masyarakat Islam dan berusaha mencorakkannya dengan corak Islam. Perasaan ini haruslah wujud di kalangan mereka baik secara diam-diam atau terang-terangan, tetapi kita lebih mengutamakan secara diam diam.

1.8 Islam adalah keadilan

Keadilan yang dimaksudkan oleh Mursyid di sini ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak dengan tidak berlaku sebarang kekurangan, kerana keadilan wajib diberikan kepada semua insan, baik Muslim atau kafir, musuh atau kawan, keluarga atau bukan keluarga. Allah berfirman:

وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

“Dan jangan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (S 5:8)

Keadilan akan berlaku melalui hukuman dan kehakiman, juga berlaku dengan pujian, sanjungan, celaan, kritik dan kecaman. Keadilan boleh berlaku dalam keadaan redha atau marah. Bukanlah adil jika saudara berlaku kejam sewaktu saudara menghukum antara dua orang, saudara juga tidak berlaku adil sewaktu saudara berlebihan memuji orang yang tidak berhak menerima separuh daripada pujian yang saudara berikan. Bukanlah adil jika saudara berlebihan mengecam seorang yang tidak berhak menerima satu persepuluh dari kecaman saudara. Bukanlah adil jika saudara memuji semasa suka dan mengeji semasa benci. Bukanlah adil jika saudara berlaku kejam terhadap mereka yang bukan keluarga saudara atau musuh yang menyakiti saudara, sedang saudara menutup pandangan dari perbuatan keluarga, kawan dan orang yang berlaku baik kepada saudara.

Bersambung…………

Advertisements